Cara Meningkatkan Industri Pelancongan Di Malaysia

Cara Dan Langkah Meningkatkan Industri/ Sektor Pelancongan Di Malaysia. Berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara memajukan industri pelancongan di Malaysia. Negara tercinta Malaysia merupakan sebuah negara tropika yang indah, aman dan sedang menuju ke arah mencapai status negara perindustrian/ teknikal yang maju. Lantaran itu, tidak hairanlah jika negara ini menjadi tumpuan para pelancong dari seluruh pelosok dunia sejak kebelakangan ini.

langkah memajukan Industri Pelancongan Di Malaysia

Cara Meningkatkan Industri Pelancongan Di Malaysia

Di Malaysia, industri pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia
menuju negara maju dalam abad. Memandangkan Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam bidang pelancongan, inisiatif yang efisien perlulah diambil untuk memajukan industri pelancongan di tanah air kita. 


Langkah yang primer ialah pihak kerajaan perlulah memperbanyakan tempat pelancongan di negara ini untuk menggalakkan lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke negara kita. Kerajaan Malaysia juga perlulah mengenal pasti tempat-tempat pelancongan yang baru dan menarik di negara ini dan berusaha untuk memajukannya. Dalam kondisi ini, para pelancong akan mempunyai banyak alternatif tempat-tempat untuk dilawati. Oleh itu, mereka tidak akan berasa bosan kerana melawat tempat yang berlainan. Sebaliknya, para pelancong akan dapat meluaskan ilmu pengetahuan seseorang pelancong itu. 

Contohnya, bangunan bersejarah di Malaysia, Kota A Famosa tugu-tugu lama peninggalan penjajah, Muzium Negara dan lain-lain perlulah dijaga dan akan menjadi tarikan pelancong dari negara asing. Bangunan itu telah membuktikan peristiwa bersejarah bahawa negara kita pernah dijajah oleh negara asing. Dengan ini, dapat memajukan industri pelancangon di Malaysia. Sistem pengangkutan perlu dimajukan juga merupakan salah satu langkah yang efektif untuk memajukan industri pelancongan di ibu pertiwi ini. Dengan ini, sistem pengangkutan yang sistematik akan memudahkan pelancong asing pergi dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. 

Dengan adanya sistem pengangkutan yang mengenakan tambang pada harga yang berpatutan, selamat, selesa, cekap dan mengikut jadual yang ditetapkan, para pelancong mudah pergi ke sesebuah tempat tanpa perlu menghadapi banyak masalah. Antara contoh pengangkutan moden yang terdapat di Malaysia ialah monorel, komuter, kapal laut, bas, teksi dan sebagainya. Mereka tidak lagi berhadapan dengan masalah pengangkutan untuk pergi ke kawasan pulau dan tanah tinggi. Sebagai contoh, para pelancong boleh menggunakan perkhidmatan feri atau kapal terbang untuk pergi ke Pulau Langkawi. 

Terbukti bahawa pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi di Malaysia. Di samping itu, industri pelancongan akan dapat berkembang dengan cepat dan dimajukan sekiranya terdapat kemudahan-kemudahan asas. Kemudahan-kemudahan asas yang penting seperti kemudahan jalanraya, sistem pengangkutan, tempat-tempat penginapan yang mencukupi (chalet dan hotel), tempat makan, tandas awam dan sebagainya perlu disediakan kepada para pelancong. Contohnya, pihak kerajaan boleh mengurangkan kadar cukai membina chalet atau hotel kepada syarikat yang berkaitan. Dengan ini, chalet yang sewanya rendah dapat menarik para pelancong. 

Selain itu, tempat-tempat pelancongan yang sedia ada perlulah dijaga dengan sempurna agar bersih dan selamat. Kebersihan patutlah diberi keutamaan kerana kondisi ini juga merupakan suatu daya tarikan kepada para pelancong. Seterusnya, tidak dapat dinafikan bahawa sesebuah tempat atau negara itu akan mudah dikenali sekiranya kita berusaha untuk mempromosikannya. Pihak kerajaan melalui agensi iaitu Kementerian Kesenian dan Pelancongan mestilah menjalankan promosi secara besar-besaran untuk memperkenalkan nagara Malaysia kepada dunia luar. Promosi ini dapat dilakukan melalui media massa di dalam negara dan di luar negara. Pameran-pameran, kempen dan pesta kebudayaan juga perlu sentiasa diadakan di negara ini untuk memperkenalkan cara-cara hidup, pemakanan, adat resam berbilang kaum di Malaysia. 

Kini, perkembangan teknologi maklumat yang luas dan tiada batasnya. Oleh itu, kita boleh mengaplikasikan kemudahan ini untuk memperkenalkan negara kita keseluruh dunia. Selain itu, pihak kerajaan juga boleh menganjurkan pelbagai program seperti Tahun Melawat Malaysia, Pesta Flora Malaysia, program Cinta Warna dan sebagainya untuk menarik lebih banyak pelancong melawat tanah air kita. Seperkara lagi, pihak kerajaan perlulah menguatkusakan undang-undang untuk menjamin masyarakat sering berada dalam keadaan yang aman dan harmoni. 

Hal ini demikian, dalam era globalisasi ini, sikap pemandu kenderaan-kenderaan awam dan para pengusaha di negara ini yang mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Insiden-insiden para pelancong ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran pusat-pusat makanan, pencemaran sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya telah menjejaskan imej negara Malaysia dalam jiwa para pelancong. 

Oleh itu, pihak kerajaan haruslah mengenakan hukuman yang berat kepada pemandu atau para pengusaha yang melanggar peraturan-peraturan yang ditetapkan. Contohnya, pesalah-pesalah akan dikenakan denda atau dipenjarakan. Dengan ini, dapat mengekalkan keamanan negara dan juga memajukan industri pelancongan. Malaysia mampu menjadi sebuah negara destinasi pelancongan tropika indah yang popular (tersohor) dan berpotensi di rantau Asia ini dan di dunia dengan keistimewaan yang dimiliki oleh negara ini. Pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Oleh itu, semua pihak perlu berkotmitmen untuk memajukan indusri pelancongan di negara kita kerana industri ini membawa pulangan yang lumayan kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, rakyat Malaysia harus memberikan sokongan kepada kerajaan dan pihak swasta dalam usaha memajukan industri pelancongan agar negara dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara maju yang lain. Tindakan ini penting bagi membantu negara mencapai tahap negara maju pada tahun 2020.

Contoh 2 : Usaha-Usaha Meningkatkan Industri Pelancongan Di Malaysia

Di Malaysia, industri pelancongan merupakan salah satu punca pendapatan negara yang diperoleh melalui pengaliran masuk wang asing. Malaysia juga terkenal dengan destinasi hab halal dan menjadi tumpuan pelancong asing terutamanya, Asia Barat, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Industri pelancongan Malaysia merekodkan purata kemasukan pelancong asing sebanyak 2 juta setahun. Oleh itu, terdapat pelbagai usaha yang dapat dilakukan untuk meningkatkan industri pelancongan di Malaysia.

Usaha yang pertama ialah kerajaan perlu menyediakan prasarana yang mencukupi, selesa, jimat dan mudah. Hal ini demikian kerana, kemudahan ini memudahkan dan memberikan keselesaan kepada pelancong. Sebagai contoh, kementerian pengangkutan bekerjasama dengan kementerian pelancongan untuk menyediakan perkhidmatan seperti bas dan teksi dengan kadar yang berpatutan serta cekap dan efisien. 

Pihak perhotelan pula seharusnya menyediakan penginapan hotel yang selesa dan mengenakan bayaran yang berpatutan. Syarikat pelancongan juga boleh menyediakan khidmat pemandu pelancong untuk membimbing atau melayan pelancong asing ketika mereka berada di Malaysia. Dengan itu, imej negara yang baik boleh ditunjukkan kepada pelancong.

Selain itu, kerajaan juga boleh mengurangkan cukai belian barangan, peraturan imegresen perlu dilonggarkan dan menambah pusat perkhidmatan tukaran wang asing. Hal ini demikian kerana, pelancong asing dapat membeli belah di Malaysia dengan pembelajaan yang sederhana. Sebagai contoh, Pulau Langkawi merupakan pulau bebas cukai yang menjadi destinasi pelbagai peancong dari dalam mahupun luar negara. Di sana, mereka dapat membeli cenderahati, pinggan mangkuk, kraftangan, dan coklat untuk di bawa pulang. Dengan itu, pendapatan penduduk setempat akan bertambah dan mereka dapat meningkatkan taraf hidup masing-masing.


Di samping itu, kerajaan dan rakyat Malaysia boleh bergabung tenaga untuk mengadakan kempen promosi pelancongan di dalam dan di luar negara. Kempen Cuti-Cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia telah dijalankan setiap tahun bagi mempromosikan Malaysia. Rakyat Malaysia yang berada di luar negara yang melanjutkan pelajaran juga boleh menjadi duta kecil kepada Malaysia. Mereka boleh mempromosikan tempat-tempat yang menarik di Malaysia seperti Pulau Langkawi, Pulau Redang, Cameron Highland dan banyak lagi. Oleh itu, semua rakyat Malaysia memainkan peranan penting untuk memajukan industri pelancongan.


Kesimpulannya, usaha dari semua pihak perlu bagi meningkatkan industri pelancongan di Malaysia. Hal ini demikian kerana, usaha dari satu pihak sahaja tida akan membuahkan hasil, seperti kata pepatah, tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jadi, untuk menjadi negara yang maju dalam industri pelancongan memerlukan usaha yang berterusan dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia.


Sumber : Usaha Meningkatkan Industri Pelancongan dan Cara-cara Memajukan

0 comment... add one now