Contoh Makanan Sihat Untuk Kanak-Kanak Sekolah

Contoh Makanan Sihat Untuk Kanak-Kanak Sekolah. Mempraktikkan makanan seimbang seperti yang ditunjukkan dalam piramid makanan akan memastikan tubuh badan kita sentiasa sihat. Pengambilan makanan yang berlebihan bagi setiap kumpulan makanan dalam piramid makanan atau makanan yang tidak seimbang bukan sahaja boleh menyebabkan berlakunya penambahan berat badan malah merupakan satu tanda awal rangsangan kepada permulaan pelbagai penyakit. Tidak terkecuali kanak-kanak yang memerlukan makanan seimbang untuk membesar dan menjadi seorang kanak-kanak yang kuat dan pintar.

Kanak-kanak menghabiskan tempoh masa yang lama di sekolah. Lazimnya, satu pertiga daripada keperluan nutrien harian akan dimakan di sekolah. Ini bermakna pengambilan makanan di sekolah penting untuk memenuhi keperluan harian kanak-kanak sekolah. Ia juga memberi kesan kepada tahap tenaga dan daya tumpuan kepada pelajaran serta mempengaruhi tabiat makan dan tumbesaran. 
Contoh Makanan Sihat Untuk Kanak-Kanak Sekolah

Seorang ibu yang sibuk boleh mengimbangkan antara pemakanan sihat dengan makanan yang menarik untuk anak dengan menyediakan bekalan yang mengandungi lima jenis makanan utama seperti berikut:-

Hidangan utama (bagi kanak-kanak yang makan tengah hari di sekolah atau tidak sempat bersarapan)
1. Sandwic sihat
  • Sandwic adalah popular kerana ia mudah dimakan dan disediakan.
  • Pilih roti penuh bijirin kerana ia mengandungi lebih serat.
  • Lapiskan sandwic dengan isi yang digemari oleh anak seperti ikan tuna atau sardin, keju, isi ayam yang dipanggang atau telur rebus yang dilecek dengan sedikit mayones.
  • Tambahkan sedikit sayur seperti timun, salad atau lobak.
2. Nasi atau mi goreng
Selain daripada sandwic, makanan utama yang mudah dibawa ke sekolah ialah nasi atau mi/ mihun/ pasta goreng. Ia lazat dan digemari oleh kanak-kanak.
Tambahkan lebih sayur, telur, ayam atau daging dalam nasi atau mi goreng untuk menjadikan ia seimbang. Kurangkan penggunaan minyak berlebihan untuk menumis.
Hidangan panas mudah menjadi basi. Pastikan hidangan tidak dimasak terlalu awal. Sejukkan dahulu sebelum dimasukkan dalam bekas bekalan. Gunakan bahan mentah yang segar untuk membuat nasi goreng, pastikan nasi putih yang dimasak telah disimpan di dalam peti sejuk atau baru dimasak.

3. Buah dan sayur
Bekalkan juga buah segar seperti pisang, jambu, epal, lai atau limau. Ada kanak-kanak yang gemar sayur segar seperti lobak merah, timun dan sengkuang.

4. Susu
Minuman susu dalam kotak sama ada susu biasa atau berperisa harus menjadi bahan tetap yang dibekalkan ke sekolah. Ia mengandungi kalsium dan protein yang diperlukan oleh kanak-kanak. Pastikan bekalan susu dikendalikan dengan sempurna. Selepas minum, lebihan susu hendaklah dibuang untuk mengelak keracunan makanan.

5. Snek berkhasiat untuk masa rehat
Snek ringan juga adalah penting, terutama bagi waktu rehat. Bekalkan biskut, kek, sandwic atau kuih tempatan yang berkhasiat serta buah-buahan. Kurangkan pilihan snek yang manis, masin dan berlemak.

6. Air kosong
Air kosong adalah minuman yang paling sesuai untuk kanak-kanak sekolah.
Minuman kordial dan air bergas mengandungi gula yang tinggi dan boleh mengurangkan selera dan menjejaskan pengambilan makanan berkhasiat jika diminum terlalu kerap.
Bekalkan air sejuk atau air yang dibekukan dalam bekas air yang dibungkus. Ia dapat mengekalkan suhu sejuk dan lebih digemari.

Bekalkan pelbagai jenis makanan yang terdiri daripada makanan utama seperti sandwic atau nasi/mi goreng, buah, susu, snek ringan untuk masa rehat dan air kosong setiap hari untuk memastikan anak mendapat pemakanan yang seimbang di sekolah. Bagi anak yang susah makan, ajak dia sama-sama memilih atau menyediakan bekalan makanan. Ini mungkin dapat membantu membuka seleranya.

SUMBER

1 comment... add one now

nasi lemak anak dara nasi lemak anak dara November 07, 2016
Saya ada 6 anak....semua bawah umur 6 tahun....saya kena beli susu untuk anak...bayar rumah sewa...letrik..air....semua barangan harga dah naik...minyak masak pun naik...petrol pun naik....maggi pun naik...tahun 2016 november....saya tak mampu beli makanan seimbang untuk anak saya....saya akan pulang kampung tak lama lagi....hidup di bandar KL memang hidup susah....hidup di kampung semua free.